BV

Remaja Mencuri Di Victoria’s Secret Sambil Kelek Mayat Bayi

TIONA Rodroguez, 18, pada mulanya ditangkap kerana ‘kantoi’ mencuri di butik Victoria’s Secret namun penemuan apa yang ada dalam begnya selepas itu jauh lebih mengejutkan pihak keselamatan.

Ianya adalah mayat seorang bayi lelaki.

Ketika perbicaraan berlangsung Khamis lalu, pendakwaraya Rachel Ferrari memberitahu mahkamah bayi itu dipercayai dibunuh Rodriguez dan dia dalam perjalanan untuk menanam mayat apabila memutuskan untuk singgah ke butik yang terletak di Harold’s Square, New York di mana dia ditangkap mencuri, pada 2013.

Rodriguez yang turut mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkannya ketika berusia 14 tahun, dikatakan bertindak membunuh bayi itu kerana mahu menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga yang langsung tidak sedar dia sedang hamil.

Peguam Rodriguez bagaimanapun mendakwa, anak guamnya mengalami keguguran pada hari kejadian dan tidak tahu apa yang mesti dibuat dengan mayat bayinya.

Ferrari berkata, pihaknya yakin Rodriguez sememangnya sudah merancang pembunuhan bayi yang dikandungnya tanpa pengetahuan keluarga itu dengan teliti.

“Apabila tahu sudah tiba masa untuk melahirkan, dia pergi ke rumah seorang rakan yang terletak jauh dari kawasan rumahnya, gunakan bilik air rumah tersebut untuk melahirkan bayi sebelum memotong tali pusat dengan tangan sendiri.

“Siasatan dapati bayi itu masih hidup ketika lahir jadi dia telah membunuhnya. Selepas itu dia merancang untuk makan sebelum menanam mayat.

“Namun dia kemudian menukar fikiran untuk singgah ke butik pakaian dalam dan mencuri di sana. Pakaian yang dicuri diletakkan dalam beg sama yang mengandungi jasad bayinya,” kata Ferrari.

Tambah Ferrari, tidak ada perasaan panik dialami ibu muda tersebut kerana dia sudah mempunyai pengalaman melahirkan anak sebelum ini.

Penyiasatan mendapati, Rodrigez juga pernah hamil dan melahirkan anak pada 2012 dalam tab mandi namun memberitahu teman lelakinya anak tersebut mati ketika dilahirkan.

Dia dipercayai melupuskan bukti dengan membakar mayat bayi tersebut.

Perbicaraan masih berlangsung dan jika sabit kesalahan, Rodriguez boleh dijatuhi hukuman sehingga 15 tahun penjara.

– MYNEWSHUB.CC

0 Komentar untuk "Remaja Mencuri Di Victoria’s Secret Sambil Kelek Mayat Bayi"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info