BV

Pesakit gigi terdedah virus HIV, hepatitis

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia menggesa 11,000 pesakit gigi supaya membuat pemeriksaan di hospital kerana bimbang mereka terdedah kepada virus HIV dan hepatitis berikutan pelanggaran penjagaan kebersihan di beberapa klinik, di sini. Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) berkata, 12 klinik gigi yang melakukan pembedahan didapati tidak membersihkan peralatan seperti yang sepatutnya diamalkan. Mereka mengarahkan supaya pesakit menjalani ujian darah khusus mengesan HIV serta Hepatitis A,B dan C sebagai langkah berjaga-jaga. Pengarah Perlindungan Kesihatan NSW, Jeremy McAnulty, berkata tiada kes dilaporkan setakat ini dan risiko jangkitan adalah sangat rendah.

"Amat penting untuk kami menekankan tiada bukti jangkitan setakat ini, tiada jangkitan berlaku. Namun pakar bimbang dengan kawalan jangkitan dan risiko yang wujud. "Kami berharap tiada jangkitan berlaku tetapi langkah terbaik adalah orang ramai perlu mengetahui status mereka bagi memudahkan rawatan seandainya berlaku jangkitan," katanya. Apa yang menjadi kebimbangan adalah peralatan yang digunakan tidak dibersih dan disteril, boleh membawa risiko penyakit berjangkit menerusi gusi. Seorang anggota Majlis Pergigian NSW, Shane Fryer, berkata kebimbangan tercetus akibat aduan terhadap sebuah klinik November tahun lalu. "Siasatan seterusnya mendedahkan berlakunya pelanggaran keselamatan di klinik itu dan tempat lain. "Audit menunjukkan wujud masalah dengan isu kebersihan, pensterilan dan penyimpanan peralatan. Ia dilakukan tanpa mematuhi garis panduan Lembaga Pergigian Australia," katanya. Katanya, mereka memberi jaminan kepada orang ramai ada garis panduan ketat dengan kawalan jangkitan yang perlu dipatuhi pengamal pergigian. "Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan tindakan tatatertib dan mungkin pembatalan pendaftaran," katanya. Setakat ini enam doktor gigi sudah digantung perkhidmatan manakala enam lagi mempunyai syarat diletakkan pada lesen mereka. - AFP

Selanjutnya di : bharian.com.my

0 Komentar untuk "Pesakit gigi terdedah virus HIV, hepatitis"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info