BV

Erra Terima 'Teman Istimewa'

Erra Fazira

Pada usia yang semakin matang, Erra Fazira semakin jelas apa yang dikehendaki dalam hidup. Jika dahulu dia hanya bekerja dan terus bekerja keras. Sekarang dia tahu di mana titik noktah pada setiap yang dilakukannya. Erra maklum sangat setiap apa yang diingini perlu dirancang terlebih dahulu.

“Sebagai ibu tunggal, perhatian saya tidak hanya pada kerja. Saya ada anak yang perlu jagaan. Jadi bila buat kerja saya akan beri sepenuh perhatian pada kerja. Bila masa dengan anak, saya akan berikan sepenuh masa kepadanya. Matlamat saya adalah membesarkan anak sebaik mungkin selain tanggungjawab saya pada ibu, nenek dan adik beradik.

“Dengan usia sekarang, saya perlu membaiki diri ke arah kehidupan lebih baik. Perlahan-lahan saya mendekatkan diri ke jalan yang diredhai Nya,” ujar Erra lagi.

Sebagai artis popular, Erra sentiasa diekori gosip. Paling hangat sekarang, Erra dikatakan dilamun cinta dengan seseorang. Tidak menafikan atau mengiakan, Erra sekadar menganggap apa yang dilalui sekarang adalah lumrah kehidupan manusia biasa. Berkawan, bercinta dan akhirnya membina bahagia rumah tangga.

Pinta Erra,  janganlah memandang serong bila seseorang itu bercinta asalkan berpada-pada. Dia juga insan yang memerlukan teman istimewa. Sekalipun tidak mencari tetapi Erra tidak menolak jika hatinya terbuka menerima kehadiran teman istimewa.

“Memang benar, saya sedang mengenali seseorang. Kami dalam proses pengenalan dan hubungan ini masih belum ada muktamadnya. Saya tidak mahu mengheboh-hebohkan akan hal ini kerana ia adalah proses biasa dalam sesebuah hubungan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hubungan itu nanti” ujarnya.

Erra juga menolak gosip bercinta dengan VIP atau ahli politik dengan perasaan rimas.  Teman tapi mesranya itu hanyalah orang kebanyakan dan dia tidak mahu apa juga gosip mengenainya memberi kesan kepada anaknya, Aleesya.

“Dulu saya boleh memekakkan telinga dan membiarkan gosip senyap mengikut peredaran masa. Tapi sekarang saya lebih menjaga hati anak saya. Jika saya rasa perhubungan ini tidak mampu diteruskan, saya akan tamatkan saja. Saya bukannya muda lagi, sudah pasti pengalaman lalu banyak mendewasakan saya,” kata Erra yang mengakui temannya itu mampu membawanya ke arah kebaikan.

“Saya sangat menghormati dia dan kami saling melengkapi antara satu sama lain,” turutnya yang menyerahkan soal jodoh pada takdir.

Sedikit perkembangan Erra dalam hidupnya terkini, namun lebih menarik Erra turut berkongsi cerita soal anaknya, Engku Aleesya, 5, hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya, Engku Emran Zainal Abidin.


Sumber : mingguanwanita.karangkraf.com
0 Komentar untuk "Erra Terima 'Teman Istimewa'"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info