BV

Bayi Tiga Bulan Maut, Jatuh Dari Tingkat 2 Rumah Pengasuh



KEGEMBIRAAN sepasang suami isteri yang menanti selama sembilan tahun untuk memperoleh cahaya mata sulung berkecai apabila bayi lelaki mereka yang baru berusia tiga bulan mati selepas terjatuh dari rumah pengasuhnya di Kajang, petang semalam.
Bayi itu dipercayai terjatuh dari tingkat dua Pangsapuri Kenanga di Taman Sri Kantan bersama-sama anak pengasuhnya yang berusia enam tahun.
Budak perempuan terbabit mengalami kecederaan tetapi bayi itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
Difahamkan, pengasuh berusia 41 tahun telah meninggalkan bayi tersebut bersama anak perempuannya untuk keluar sebentar menghantar anak lelakinya yang berusia 11 tahun ke sekolah agama.
Sebaik sampai ke rumah, pengasuh itu terkejut melihat rumahnya kosong lalu terus mencari anaknya dan bayi berkenaan sebelum menemui kedua-duanya terbaring kaku di tingkat bawah flat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ASP Ab Rashid Ab Wahad siasatan awal mendapati kemungkinan besar kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh melalui tingkap di bilik utama unit kediaman terbabit.
“Siasatan awal menunjukkan mungkin budak perempuan itu telah memanjat baby cot untuk membuka tingkap dan pada ketika itu juga dia sedang mendukung bayi tersebut sehingga menyebabkan kedua-duanya jatuh tergelincir,” katanya.
Anak perempuan pengasuh terbabit dilaporkan patah tulang belakang dan pinggul sementara bayi itu meninggal dunia kira-kira 12 jam selepas kejadian berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 disebabkan kecuaian.
- MYNEWHSUB.CC
0 Komentar untuk "Bayi Tiga Bulan Maut, Jatuh Dari Tingkat 2 Rumah Pengasuh"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info