BV

Shaheizy Sam Kembali Rangkul Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2014


Shaheizy Sam

GENTING HIGHLANDS: Pelakon Shaheizy Sam membuktikan dia masih menjadi pilihan peminat apabila kembali merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) dengan undian tertinggi sebanyak 265,703 undi.

Ia adalah kemenangan ketiga buat pelakon itu selepas memenangi anugerah sama pada 2010 dan 2012.

Pada majlis itu juga, Shaheizy turut membawa pulang trofi menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pada acara yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang hadiah berupa trofi dan sebuah kereta Toyota Camry Hyrid sumbangan UMW Toyota Motors.

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pula diberikan kepada penyanyi terkenal Tan Sri SM Salim bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau dalam bidang seni hampir 50 tahun.

Penyanyi Black, Hazama, Akim dan Azlan (The Typewriter) turut menyampaikan persembahan khas buat SM Salim menerusi lagu Tak Seindah Wajah dan Seniman Menangis.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Hot FM.

Dalam pada itu, Siti Saleha masih mengekalkan rekod sebagai penerima trofi Pelakon Filem Wanita Popular.

Bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular ia dimenangi oleh Akim Ahmad manakala Penyanyi Wanita Popular pula menjadi milik Adira.

Akim turut menepati ramalan apabila menerima sebuah lagi trofi menerusi kategori Artis Duo/Berkumpulan menerusi Akim & The Majistret.

Sementara itu, Shah Iskandar diumumkan penerima Pelakon TV Lelaki Popular buat kali kedua manakala aktres Nad Zainal membawa pulang trofi Pelakon TV Wanita Popular.

Pelakon Hafreez Adam pula muncul sebagai pemenang kategori Artis Baru Lelaki Popular manakala Ayda Jebat menepati ramalan apabila meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon Jihan Muse pula gagal mengekalkan kemenangan tahun lalu menerusi kategori Artis Komedi Wanita Popular apabila ia kembali dirampas Didie Alias.

Manakala Abam (Bocey) membuat kejutan apabila diumumkan memenangi kategori Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Johan Raja Lawak bagi stesen Era FM dan Fara Fauzana (Hot FM).

Dalam perkembangan sama, pelakon Neelofa masih mengekalkan kemenangannya menerusi kategori Pengacara TV Wanita Popular pada tahun ini.

Datuk Aznil Nawawi pula kembali merampas gelaran Pengacara TV Lelaki Popular yang sebelum ini disandang oleh Datuk AC Mizal.

Acara gilang gemilang itu diacarakan oleh Amy Mastura, Sherry Alhadad dan AG.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan daripada artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Ella, Korie, Salamiah Hassan dan Atilia Harun.

ABPBH 2014 edisi ke-28 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.

Berikut adalah senarai penuh pemenang ABPBH 2014:

1) BINTANG PALING POPULAR: SHAHEIZY SAM

2) PENYANYI LELAKI POPULAR: AKIM

3) PENYANYI WANITA POPULAR: ADIRA

4) ARTIS DUO/ BERKUMPULAN POPULAR: AKIM & THE MAJISTRET

5) ARTIS BARU LELAKI POPULAR: HAFREEZ ADAM

6) ARTIS BARU WANITA POPULAR: AYDA JEBAT

7) PELAKON FILEM LELAKI POPULAR: SHAHEIZY SAM

8) PELAKON FILEM WANITA POPULAR: SITI SALEHA

9) PELAKON TV LELAKI POPULAR: SHAH ISKANDAR

10) PELAKON TV WANITA POPULAR: NAD ZAINAL

11) ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR: ABAM BOCEY

12) ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR: DIDIE ALIAS

13) PENGACARA TV LELAKI POPULAR: DATUK AZNIL NAWAWI

14) PENGACARA TV WANITA POPULAR: NEELOFA

15) PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR: JOHAN

16) PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR: FARA FAUZANA

KATEGORI ONLINE

1)PERSONALITI POPULAR: FAIZ DICKIE

2) GANDINGAN SERASI DI LAYAR : ZUL ARIFFIN & AYDA JEBAT

3) ARTIS LELAKI STAILO : ZUL ARIFFIN

4) PASANGAN SELEBRITI ROMANTIS: AWAL ASHAARI & SCHA ALYAHYA

5) ARTIS PALING KONTROVERSI : SHARNAAZ AHMAD

6) ARTIS WANITA STAILO : DATUK SITI NURHALIZA

ANUGERAH KHAS

1) ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT: TAN SRI SM SALIM



Sumber : mstar.com
0 Komentar untuk "Shaheizy Sam Kembali Rangkul Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 2014"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info