BV

Guru Matematik Tambahan Catat Rekod Jawab 736 Soalan 11 Jam



KUALA LUMPUR – Seorang guru Matematik Tambahan melakar nama dalam Malaysia Book Of Records apabila beliau berjaya menjawab 736 soalan Matematik Tambahan tanpa henti dalam tempoh 11 jam 30 minit.
Kiranjit Sharma Bahadur, 39, mula menjawab soalan itu dari 6.30 pagi sehingga 6 petang semalam dengan kira-kira 70 soalan diselesaikan setiap satu jam.
Berbekalkan 20 tahun pengalaman mengajar mata pelajaran berkenaan, ibu tunggal itu berkata tujuan beliau adalah untuk mengubah tanggapan negatif tentang Matematik Tambahan yang dianggap sebagai mata pelajaran yang susah.
“Sebagai guru kontrak dari rumah ke rumah di bawah syarikat saya sendiri, Eelam Study Link, saya sedih apabila mendengar banyak calon SPM gagal dalam Matematik Tambahan dan pelajar saya berasakan ia mata pelajaran paling sukar untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pengesahan rekod itu di sini.
Sehubungan itu, beliau berkata projek mencatat rekod itu bertujuan memberinmotivasi kepada pelajar Malaysia dan meyakinkan mereka bahawa Matematik Tambahan bukanlah subjek yang ‘mustahil’ sekiranya mereka tidak menyerah kalah dalam mempelajarinya.
Pencapaian ini menjadikan kali ketiga namanya dicatat dalam Malaysia Book of Records memandangkan beliau juga pemegang rekod bagi Tarian Tradisional Paling Lama Tanpa Henti (10 jam 29 minit) pada 2003 dan Maraton Tarian Tamil Moden Paling Lama Tanpa Henti selama 20 jam pada 2005.
Semangat yang berkobar-kobar untuk mencabar diri menjadi inspirasi untuk mencatat pelbagai rekod Malaysia, kata Kiranjit, yang juga menetapkan matlamat untuk memungut derma bagi projek kesukarelawan beliau membabitkan pesakit mental.
Selain Kiranjit, anak perempuan beliau, Charanjit De Hothep Putri Ya’azhini, 14, akan turut melakukan percubaan mencatat rekod dengan menjawab soalan Matematik bagi Tingkatan Dua dalam masa dua hari (tanpa henti) November ini. – BERNAMA

Sumber : mynewshub.cc
0 Komentar untuk "Guru Matematik Tambahan Catat Rekod Jawab 736 Soalan 11 Jam"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info