BV

6ixth Sense pilih haluan sendiri


SELEPAS bergerak bebas, 6ixth Sense muncul dengan sebuah lagu dangdut berjudul 7 Kali Malam Minggu.

Setelah 10 tahun bernaung di bawah empayar syarikat rakaman, Universal Music Sdn. Bhd. akhirnya kumpulan gitar rancak 6ixth Sense mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.
Keputusan tersebut diambil berikutan kumpulan yang popular menerusi lagu Khatimah Cinta itu ingin bebas daripada terikat dengan syarat yang dikenakan oleh syarikat rakaman terutamanya melibatkan soal karya.
Teraju utama kumpulan tersebut, Adi Priyo Sambodo memberitahu, mereka telah lama berhasrat untuk membawa haluan sendiri dan bereksperimentasi dengan pelbagai genre mengikut kesesuaian arus semasa industri seni tempatan.
“Kami secara rasminya menamatkan kontrak bersama syarikat rakaman Universal Music pada akhir tahun 2013. Selepas itu, kami mengambil keputusan untuk bergerak secara bebas.
“Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap jenama 6ixth Sense itu telah kukuh. Sebaliknya, harus diakui memang rasa lebih bebas apabila bergerak sendiri berbanding bernaung di bawah syarikat rakaman yang mempunyai peraturan tertentu,” kata Adi pada sesi sidang akhbar pelancaran album kompilasi berjudul Sense OF Love di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyambung bicara, Adi yang juga merupakan vokalis kumpulan tersebut memberitahu, pengalaman menerbitkan beberapa buah lagu yang berjaya mendapat reaksi memberangsangkan daripada peminat seperti Kisah Hati nyanyian Alyah membuatkan keyakinan mereka bertambah untuk terus serius dalam perniagaan seni muzik.
“Sejujurnya, kami telah berfikir mengenai perkara ini (bergerak secara sendiri) sejak tiga tahun lepas usai menerbitkan beberapa buah lagu yang berjaya mendapat hit dan mendapat pulangan yang baik.

MUNCUL dengan album Sense Of Love, 6ixth Sense mengambil peluang memperkenalkan barisan artis yang bernaung di bawah mereka seperti Sakura Band, Zara Ali dan Cherpen Band.

“Insya-Allah, walaupun masih lagi dalam peringkat awal dan pelaburannya juga masih belum menampakkan tunas keuntungan, kami pasti hasilnya kelak akan lebih banyak berbanding sebelum ini,” lontarnya.
Bercerita mengenai album kompilasi terbaharu mereka yang berjudul Sense Of Love, Adi memberitahu, album tersebut dilancarkan sebagai strategi pemasaran kumpulannya untuk memperkenalkan beberapa kumpulan baharu di bawah naungan mereka. Menggunakan jenama 6ixth Sense, artis yang bernaung di bawah mereka ialah Sakura Band, Cherpen Band dan Zara Ali.
“Album ini pada dasarnya bukan milik 6ixth Sense semata-mata, namun ia lebih kepada album pengenalan bagi memperkenalkan beberapa buah kumpulan yang bernaung di bawah 6ixth Sense.
“Kami berharap dengan adanya album ini, ia mampu menjadi batu loncatan kepada kumpulan baharu seperti Sakura Band, Cherpen Band, dan Zara Ali untuk lebih menonjol dalam industri seni tanah air,” katanya yang pernah menerbitkan lagu berjudul Risalah Hati (Ella dan Anji), Relakan Jiwa (Hazama) dan Muara Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Hafiz Suip.
Sementara itu, gitaris utama kumpulan tersebut, Athan berkata, mereka baru sahaja muncul dengan lagu genre dangdut berjudul 7 Kali Malam Minggu yang turut diselitkan dalam album tersebut.
“Kami menghasilkan lagu baharu menerusi genre dangdut iaitu 7 Kali Malam Minggu. Kami tidak dibenarkan mencuba irama ini oleh pihak syarikat lama sedangkan sudah lama 6ixth Sense mahu berbuat demikian. Kami rasa lagu ini akan mengembalikan semula zaman kegemilangan irama dangdut di negara ini,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz3VIF4KBuZ 
Hakcipta terpelihara 
0 Komentar untuk "6ixth Sense pilih haluan sendiri"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info