
PELBAGAI dugaan sedang menguji jiwa dan perasaan pemuda bernama Zizan Razak ini bagaikan episod drama yang tidak berkesudahan.
Bermula dengan ternoktahnya kesinambungan cinta bersama Emma Maembong sebelum didakwa cuba menjauhkan diri daripada buruan media, berita mengenai kecelakaan jalan raya yang menimpa Zizan, 31, ketika memandu kereta Ferrari F430 miliknya di Putrajaya pada Selasa lepas turut mengejutkan ramai pihak.
Di sinilah bermulanya lagak keyboard warrior yang mahu membuktikan kehebatan masing-masing apabila mula menyebarkan berita tidak sahih termasuk gambar palsu Ferrari lain yang remuk sebelum dinafikan pembantu peribadinya, Izwan Zailani baru-baru ini.
Izwan, 25, dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku apabila kereta yang dipandu Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan sewaktu selebriti itu dalam perjalanan ke satu lokasi penggambaran drama di sekitar Putrajaya.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut sebenarnya tidak rosak teruk seperti mana yang tersebar di laman sosial, manakala Zizan juga tidak mengalami kecederaan.
Biar ada yang menuduh insiden itu seolah-olah karma buat Zizan kerana melukai hati Emma sebelum ini, dia dilihat lebih berminat mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ berbanding mengulas lanjut berhubung kemalangan itu.
“Maaf, saya tidak mahu bercerita langsung mengenai perkara (kemalangan) itu,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang kelmarin.
Teraju utama filem Cicakman 3 itu juga tidak mahu memberikan reaksi berhubung gosip antara Emma dan Kamal Adli yang bertebaran di laman sosial ketika ini.
Buat masa ini, Kamal dikatakan rapat dengan Emma sebaik hubungannya bersama Zizan berakhir namun mereka menafikan perkara itu.
“Saya hanya fokus terhadap kerja dan diri sendiri, itu saja. Jadi, saya tidak mahu komen,” katanya enggan mengulas lanjut.
Menyentuh mengenai Cicakman 3, Zizan mengakui cukup teruja dengan sambutan menggalakkan peminat trilogi filem berkenaan.
“Saya difahamkan, kutipan tiket sudah mencecah RM1 juta biarpun baru beberapa hari ditayangkan di pawagam.
“Biarpun ada yang membandingkan saya dengan Saiful Apek (hero prekuel Cicakman sebelum ini), saya tidak kisah dan menganggap sebagai satu cabaran positif,” jelasnya.
Zizan juga memasang impian untuk kekal terlibat dengan sekuel filem berkenaan jika ada suatu hari nanti.
“Mengapa tidak? Ia memang impian dan harapan saya. Jika mendapat sambutan menggalakkan, saya mahu kekal berlakon dalam Cicakman 4,” ceritanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Zizan memberitahu, dia juga bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Polis Evo yang dijangka ditayangkan menjelang Aidilfitri nanti.
“Dalam filem itu, saya membawakan watak seorang anggota polis iaitu Inspektor Sani dan akan bergandingan bersama Shaheizy Sam,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz3V6cJiLWc
Hakcipta terpelihara
0 Komentar untuk "Saya hanya fokus kerja – Zizan Razak"