BV

Messi dapat lampu hijau wakili Argentina

MADRID: Lionel Messi dibenarkan untuk meneruskan latihan bersama skuad kebangsaan Argentina di Amerika Syarikat selepas pemeriksaan perubatan yang dijalankan menunjukkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penyerang sensasi Barca itu dibimbangi cedera akibat diterjah ketika perlawanan 'Clasico' menentang Real Madrid, awal pagi Isnin lepas yang berakhir dengan kemenangan 2-1 kepada Barcelona di laman sendiri, Nou Camp.
Kelab gergasi Sepanyol itu dalam kenyataan berkata Messi menjalani pemeriksaan di klinik swasta di Washington D.C, semalam namun "tiada sebarang kecederaan ditemui."
Messi hanya mengalami lebam di kaki kanannya dan boleh meneruskan latihan.
Argentina akan bertemu El Salvador, Sabtu ini di Stadium FedExField di Landover, Maryland sebelum dijadual bertemu Ecuador, tiga hari kemudian di Stadium MetLife di East Rutherford, New Jersey.
Kemenangan Barcelona ke atas Real membuka jurang empat mata di antara kedua-dua pasukan di puncak La Liga itu dengan berbaki 10 perlawanan.
Argentina dan Ecuador dalam rangka persiapan menjelang kejohanan Copa America, Jun depan manakala El Salvador membuat persediaan bagi menghadapi Piala Emas CONCACAF, bulan berikutnya. - AP


Sumber : beritaharian.com
0 Komentar untuk "Messi dapat lampu hijau wakili Argentina"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info