BV

Man. Utd malukan Liverpool di Anfield


MATA (kiri) melakukan sepakan gunting ketika menjaringkan gol kedua United pada aksi menentang Liverpool di Anfield malam tadi yang berkesudahan The Red Devils menang 2-1.

STADIUM Anfield bukan lagi gelanggang kebal buat Liverpool apabila mereka tewas 1-2 kepada seteru utama, Manchester United pada aksi Liga Perdana England malam tadi.
Kemusnahan Liverpool itu berpunca daripada dua jaringan Juan Mata (14, 58) sebelum penyerang The Reds, Daniel Sturridge merapatkan jurang pada minit ke-69.
United berpeluang menambah jaringan pada minit-minit terakhir perlawanan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun percubaan Wayne Rooney berjaya ditepis oleh penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.
Dengan kemenangan tersebut, United terus mengu–kuhkan kedudukannya di tempat keempat liga dengan 59 mata, manakala Liverpool di tangga kelima dengan 54 mata.
Untuk menambahkan lagi derita Liverpool pada perlawanan tersebut, mereka kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh, Steven Gerrard yang dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas hanya beraksi selama 45 saat pada separuh masa kedua.
Kapten Liverpool itu menerima padah selepas melakukan terjahan keras ke atas Ander Herrera.
“Mereka (United) mungkin berhak memenangi perlawanan ini dan mereka mempergunakan sepenuhnya kelemahan kami apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada separuh masa kedua.
“Saya minta maaf kepada rakan-rakan sepasukan ekoran kad merah yang saya terima, dan insiden tersebut telah menyukarkan misi mereka.
“Apa pun, kami masih belum mahu menyerah dan saya yakin Liverpool akan kembali bangkit selepas ini,” tegas Gerrard.
Formasi 4-2-3-1 yang diguna pakai oleh pengendali United, Louis van Gaal pada perlawanan tersebut telah membuahkan hasil apabila berjaya memerangkap rentak pantas pasukan lawan.
Pada perlawanan lain yang berlangsung malam tadi, Swansea menewaskan Aston Villa 1-0, manakala West Ham United menghampakan Sunderland dengan jumlah jaringan yang sama. – Agensi



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3VAZlB5xt 
Hakcipta terpelihara 
0 Komentar untuk "Man. Utd malukan Liverpool di Anfield"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info