BV

Singapura berkabung tujuh hari


SEORANG lelaki kelihatan memberi penghormatan terakhir kepada Kuan Yew di satu kawasan pekarangan Hospital Besar Singapura semalam. - AFP

SINGAPURA – Singapura mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula semalam susulan kematian negarawan dan Perdana Menteri pertamanya, Lee Kuan Yew.
“Pemimpin veteran berkenaan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura awal pagi ini (semalam) pada usia 91 tahun,” kata pemerintah Singapura dalam satu kenya­taan.
“Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dengan amat sedih ­mengumumkan pemergian Perdana Menteri yang mengasaskan Singapura, Lee Kuan Yew,” kata satu kenyataan daripada pejabat Hsien Loong yang merupakan anak sulung mendiang.
Orang ramai mula berhimpun di luar Istana Presiden Singapura semalam untuk melihat kenderaan yang membawa mayat Kuan Yew, lapor akhbar Straits Times.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan awal Februari lalu akibat jangkitan pneumonia yang teruk dan ditempatkan di unit ra­watan rapi dengan bantuan mesin sokongan hayat.
Di luar Hospital Besar Singapura, orang ramai meletakkan jambangan bunga, belon dan kad ucapan sebagai penghormatan untuk beliau sejak seminggu lalu.
“Kuan Yew kini jauh daripada kita,” kata seorang pembantu perubatan berumur 57 tahun, Dorai Josephine.
“Beliau melakukan yang terbaik untuk Singapura. Tanpa beliau, kami tidak akan berjaya seperti sekarang,” ujar seorang yang dikenali sebagai Roslina.
Wanita berumur 46 tahun itu membawa dua anak perempuannya untuk memberikan penghormatan kepada Kuan Yew.
Pada masa yang sama, perse­diaan sedang dilakukan untuk membawa mayat Kuan Yew ke Dewan Parlimen di mana mendiang akan ditempatkan selama empat hari bermula hari ini.
Jalan-jalan di sekitar Dewan Parlimen pula akan ditutup sehingga mayatnya dibawa untuk upacara pengebumian negara Ahad ini.
Satu upacara persendirian untuk keluarga mendiang akan diadakan lewat semalam di kediaman Sri Temasek yang terletak di pekarangan Istana.
“Sebagai Perdana Menteri yang mengasaskan Singapura, Kuan Yew menumpukan hidupnya untuk Singapura dan berkhidmat untuk negara hingga hari-hari ter­akhirnya,” kata Presiden Tony Tan.
“Tanpa kepimpinan teguh dan sumbangan besar Kuan Yew, Singapura yang seperti kita ketahui pada hari ini tidak akan wujud,” tambah Tan.
Tempoh berkabung negara tidak diisytiharkan sebagai cuti umum dengan sekolah dan perniagaan dibuka seperti biasa.
Kuan Yew merupakan Perdana Menteri Singapura dari tahun 1959 hingga 1990 yang disanjungi kerana berjaya mengubah negara ber­kenaan daripada sebuah bandar pelabuhan kecil menjadi kuasa ekonomi rantau Asia.
Dalam pada itu, penghormatan untuk Kuan Yew datang dari Asia dan seluruh dunia.
“Kuan Yew memiliki kepakaran bukan sahaja dalam nilai keti­muran tetapi juga visi antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menggelar beliau sebagai pemimpin berwawasan dan bapa sejarah.
Nada sedih turut dinyatakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.
Beliau menyifatkan Kuan Yew sebagai tokoh legenda Asia. – dpa



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VIRYaUcj 
Hakcipta terpelihara 
0 Komentar untuk "Singapura berkabung tujuh hari"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info