BV

Sakinah dahulukan keluarga



DARI jauh, ruang legar terbuka di bahagian belakang kediaman peribadi pelakon Sharifah Shahirah yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur kelihatan indah dihiasi lampu kelap-kelip berona biji kundang.
Di sepanjang permukaan tembok konkrit putih yang terbina mengelilingi kediamannya itu, tersusun lilin-lilin kecil yang dinyalakan secara rawak, menambahkan elemen romantis pada ruang tersebut.
Pada bahagian penjuru patio pula, tersergam sebuah buaian kayu yang dihiasi elemen Bali, lengkap dengan bunga-bunga segar serta alunan muzik tradisional dari pulau yang terletak di Indonesia itu.
Sambil berdiri di hadapan buaian, penyampai radio Ultra FM itu mesra menyambut tetamu yang datang bagi meraikan majlis malam berinai adiknya, pelakon Sharifah Sakinah.
“Selamat datang ke majlis malam berinai adik saya. Dia akan turun sebentar lagi,” ujarnya mesra.
Selang beberapa minit kemudian, Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 25, yang mengenakan baju polos panjang berwarna hitam turun sambil diiringi rakan-rakannya.
Sambil tersenyum, dia dengan segera mengambil posisi di tepi buaian dan bersedia untuk mengenakan inai pada kedua belah tapak tangannya.
Selepas melangsungkan pertunangan di lokasi sama pada 25 Oktober tahun lalu, majlis malam berinai yang bertemakan Bali itu merupakan majlis terakhirnya sebelum Sakinah bernikah dengan Aliff Adha Jamil pada 28 Mac depan.
Bagaimanapun, pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu sekali lagi dirundung kontroversi apabila mengambil keputusan untuk tidak menjemput pihak media pada hari bersejarahnya itu.
Keputusannya itu bagaimanapun menimbulkan seribu satu persoalan, khususnya dalam kalangan teman-teman media.

SELAIN mahukan privasi, Sakinah enggan menjemput pihak media hadir ke majlis pernikahannya kerana bimbang kesuntukan masa untuk bersiap ke resepsi makan malam yang diadakan sejam selepas dia bernikah.

Sewaktu berpeluang bertemu dengannya usai majlis tersebut, Sakinah berkata, dia mempunyai sebab untuk tidak mengundang media bagi membuat liputan pada hari pernikahannya nanti.
Katanya, selain memerlukan sedikit privasi, dia juga mahu mengejar masa antara majlis nikah dan resepsi pada hari penyatuannya bersama Aliff kelak.
Kejar masa
“Saya tidak berniat untuk melukakan hati mana-mana pihak. Apatah lagi rakan-rakan media yang selama ini telah banyak menyokong perjalanan seni saya.
“Cuma, pada hari tersebut, saya perlu mengejar masa. Kami mempunyai lebih kurang satu jam selepas majlis bernikah untuk mempersiapkan diri bagi resepsi makan malam,” katanya yang akan mengadakan kedua-dua majlis tersebut di Hotel Shangri-La, Putrajaya.
Tambah Sakinah, dia terpanggil untuk berbuat demikian setelah melihat dua kakaknya, Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahirah mengambil masa yang agak lama menyelesaikan temu bual bersama wartawan.
“Setelah menghadiri dua majlis mereka, saya sedar bahawa kakak-kakak saya terpaksa terkejar-kejar untuk melayan pihak media sehingga tiada masa dapat diluangkan untuk keluarga dan teman rapat.
“Bagaimanapun, saya menjemput pihak media pada resepsi yang akan diadakan di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada 4 April depan,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan untuk tidak menjemput media pada hari pernikahan perlu dicontohi oleh rakan artis lain, Sakinah berkata, ia terpulang pada pilihan individu itu sendiri.
“Semuanya bergantung kepada pilihan masing-masing. Besar harapan saya majlis pernikahan kami nanti berjalan dengan lancar, insya-Allah,” tuturnya sambil tersenyum.

MERIAH... Sakinah ditemani rakan artis yang turut hadir mengiringinya pada majlis malam berinai yang berlangsung di kediaman kakaknya, Sharifah Sahirah di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Malu
Melanjutkan bicara mengenai perkara tersebut, Aliff yang turut hadir pada malam itu bersetuju apabila tunangnya mengambil keputusan untuk menjalankan majlis pernikahan secara tertutup.
Kata Aliff, selain pernah menjemput pihak media pada majlis pertunangan mereka sebelum ini, sifatnya yang pemalu juga merupakan antara sebab mengapa dia bersetuju dengan keputusan Sakinah.
“Sebelum ini, kami mengadakan majlis pertunangan dalam skala yang agak besar. Pada waktu itu juga, wartawan turut hadir bagi membuat liputan. Jadi, saya berharap majlis pernikahan kami dikecilkan dan cuma dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.
“Bagi saya, pernikahan itu merupakan perkara paling berharga yang akan berlaku dalam hidup. Lagipun, saya merupakan orang yang pemalu. Jadi, biarlah ia dilakukan secara kecil-kecilan,” akuinya jujur sambil tertawa.
Menurut juruterbang syarikat penerbangan FireFly itu lagi, persiapan perkahwinan mereka sudah hampir selesai. Begitupun, rasa gementarnya masih belum surut sehingga dia sah bergelar suami kepada Sakinah pada Sabtu depan.
“Alhamdulillah, persiapan perkahwinan sudah hampir selesai dan tiada sebarang penambahan besar dilakukan.
“Cuma saya berasa sedikit gementar kerana majlis pernikahan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Semoga semuanya berjalan lancar,” kongsi Aliff dengan penuh harapan.
Pada majlis malam berinai tersebut, Sakinah ditemani oleh rakan-rakan baiknya. Antara yang hadir ialah Sherry Al-Hadad, Elfira Loy, Marsha Milan, Siti Saleha, Jihan Muse, Nabila Huda, Tasha Shila dan Michael Ang. Majlis tersebut turut diraikan oleh keluarga terdekat Sakinah dan Aliff.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz3VIJtLCX4 
Hakcipta terpelihara 

0 Komentar untuk "Sakinah dahulukan keluarga"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info