BV

Realistik jodoh dengan Fathia


HUBUNGAN cinta yang dibina selama dua tahun pernah diuji dengan perpisahan sementara sekitar Februari lalu membuatkan Aiman dan Fathia semakin matang dalam menyelami perasaan masing-masing.

PERJALANAN seni jejaka tinggi lampai bernama Aiman Hakim Ridza kini dilihat semakin bertebaran luas sementelah tuah dan rezekinya lebih menjurus ke arah bidang lakonan.
Meskipun kelibatnya dalam mewarnai dunia seni pada mulanya memegang profil sebagai seorang penyanyi menerusi program realiti Mentor musim kelima pada tahun 2011, ternyata nasib tidak menyebelahi anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu apabila bakat nyanyiannya tidak diberi perhatian.
Namun, bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Memiliki pakej fizikal sempurna membuatkan Aiman, 26, kini merupakan antara hero drama paling laris di kaca televisyen.
Mula mencipta profil diri sebagai pelakon selepas drama pertama lakonannya Vanila Coklat mencetus fenomena, nama Aiman terus mendadak naik sebagai permata baharu yang perlu digilap kilauannya dalam industri.
Teruja dan bersyukur, namun kata Aiman, dia masih belum mampu berpuas hati dengan pencapaian terkininya itu.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkongsi lanjut mengenai prinsip dan sasaran kariernya buat masa ini. Malah, Aiman juga tidak kekok bercerita mengenai perancangan untuk memperisterikan kekasihnya, Fathia Latiff.
Kahwin
Hubungan cintanya dengan pelakon itu pernah digugat dengan perpisahan sekitar awal Februari lalu. Berlaku dalam sekelip mata dan tanpa diiringi sebab musabab yang sahih, hubungan yang telah dibina selama dua tahun tersebut kembali jernih tidak lama selepas itu. Kasih yang putus itu kembali bertaut kerana mereka mengakui masih mencintai antara satu sama lain.
Menyifatkan epilog fasa terlerainya ikatan percintaan baru-baru ini sebagai proses mematangkan diri masing-masing, Aiman mengaku sudah mempersiapkan diri andai jodoh untuk berkahwin menerpa dalam masa terdekat.
“Lumrah bagi pasangan kekasih bergaduh kecil. Orang kata, bergaduh manja,” seloroh Aiman ceria saat ditebak soal turun naik barometer cinta mereka.
Sambungnya lagi: “Insya-Allah memang kami ada merancang untuk melangkah ke fasa yang lebih serius. Keluarga juga sudah mengenali antara satu sama lain tetapi apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang, kami masih belum berbincang soal itu dengan lebih serius.
“Saya juga tidak berani untuk bercakap lanjut mengenai perkara ini, kerana kita sebagai manusia hanya mampu merancang sahaja. Apa pun yang kami berhajat untuk lakukan, mohon doa daripada semua pihak agar segalanya akan berjalan dengan lancar.”
Mengakui kini masing-masing masih gigih mengejar impian selain mahu mengukuhkan karier seni, Aiman berharap agar pada saat dan ketika yang sesuai, mereka diizinkan Allah membina mahligai bersama.
“Jadual kerja kami sangat padat. Fathia terikat dengan kontrak sebagai duta bagi beberapa buah syarikat, jadi soal perkahwinan harus dibincangkan terlebih dulu dengan pihak produk yang menggunakan khidmatnya agar tidak menimbulkan sebarang masalah pada kemudian hari.
“Biarlah masa yang menentukan semuanya. Saya fikir, hal ini tidak perlu terburu-buru kerana perkara yang baik selalunya akan dipermudahkan jalan oleh Dia,” luah Aiman realistik mengenai perancangan hidup bersama Fathia, 28.
Sasaran
Meletakkan sasaran yang terbaik untuk kerjaya, Aiman menjelaskan, pada saat dia masih muda dan laris ketika ini, peluang yang ada diguna untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri bahkan juga dari segi kewangan.
“Mahu sara anak orang bukan perkara mudah. Lagi pula zaman sekarang yang agak mencabar, jadi saya sebagai lelaki perlu persiapkan diri terutamanya mengenai karier dan kewangan.
“Bagaimanapun, ini bukan bermaksud keadaan kewangan saya tidak stabil. Cuma saya mahu pastikan semuanya benar-benar kukuh sebelum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Fathia juga ada sasaran sendiri dalam dunia seni. Itu hak dia dan saya yang turut berkecimpung dalam industri semestinya memahami perkara itu. Kami masih muda, jadi masih banyak perkara yang belum puas untuk diterokai,” tegas Aiman mengenai pendiriannya.
Mengacara
Bicara Aiman lanjut mengenai perjalanan kariernya, selain banyak menghiasi kaca televisyen dengan lakonannya dalam drama, dia juga bakal muncul dengan sebuah dokumentari khas berjudul Diari Bersama Pemimpin.
Dokumentari yang menggandingkan dia bersama pelakon Ummi Nazeera itu mengupas kisah hidup dan karier beberapa pemimpin ternama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Biar bukan arif dalam bidang pengacaraan, namun Aiman tidak mahu menolak peluang dan kepercayaan mengendalikan dokumentari yang disifatkannya sebagai hebat. Sementelah, dia berpeluang menemu bual banyak tokoh dan ikon kebanggaan negara.
“Mengendalikan dokumentari ini merupakan perkara dan pengalaman paling berharga yang pernah singgah dalam hidup saya.
“Malah perkara yang membuatkan saya begitu teruja, Insya-Allah impian saya untuk bersua muka dengan idola, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal menjadi nyata. Saya begitu menyanjungi beliau dan apabila mendapat tahu nama beliau ada dalam senarai temu bual, perasaan tidak sabar bertemunya begitu tidak terkawal,” tutur Aiman penuh teruja.
Namun, perancangan untuk memulakan penggambaran dokumentari tersebut masih tergendala buat seketika kerana terpaksa mengikut kesesuaian jadual para pemimpin yang ingin ditemu bual.
Selain itu, Aiman memberitahu, dia bakal kembali dengan drama terbaharu sekitar bulan Mei depan selepas selesai menjalani penggambaran dokumentari tersebut.
Diaju persoalan mengenai karier nyanyiannya, jelas Aiman dia masih belum merancang untuk menghasilkan sebarang single dalam masa terdekat. Bagaimanapun tegasnya, pada masa yang sesuai, dia mahu aktif sebagai penyanyi.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz3VXd0hUBU 
Hakcipta terpelihara 
0 Komentar untuk "Realistik jodoh dengan Fathia"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info