BV

Gambaran Tombiruo di mata Ramlee Awang Murshid

Tombiruo

DALAM kalangan masyarakat di semenanjung Malaysia, gambaran hantu itu terdiri daripada pelbagai jenis dan bayangan termasuklah toyol, puntianak, penanggal, langsuir dan pocong.

Namun, di Sabah mereka lebih sinonim dengan nama-nama lain termasuk balan-balan (menyerupai penanggal) dan tombiruo dari kepercayaan kaum Kadazan Dusun.

Walaupun panggilan tombiruo itu agak janggal dalam masyarakat semenanjung, namun menerusi karya novelis kelahiran Papar, Sabah ini, kita dapat mengenali entiti itu dengan lebih jelas menerusi novelnya.

Menurut Ramlee Awang Murshid, tombiruo itu sebenarnya merujuk kepada hantu namun, tidak ditetapkan bentuknya.
"Di Sabah, terlalu banyak etnik dan tombiruo ini lebih sinonim dalam masyarakat Kadazan Dusun. Malah, ianya adalah istilah yang jarang digunakan dalam masyarakat di Sabah.

"Dari situ, saya cuba memperkenalkan tombiruo menerusi, Tombiruo : Penunggu Hutan. Namun, dalam penyampaian itu, saya memperkenalkan Tombiruo bukanlah sekadar hantu semata-mata, ia lebih kepada hero.

"Senang cerita, Tombiruo adalah semangat dan roh yang tidak berbentuk tapi bersifat. Sifatnya adalah menakutkan dan muncul dalam pelbagai gambaran," katanya.
Meskipun masyarakat sering dimomokkan dengan kisah-kisah hantu, namun novelis thriller terkenal ini mengakui bahawa dia tidak pernah terserempak atau menjumpai 'tombiruo' secara jelas.

"Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah jumpa hantu. Namun, ketika di kampung saya dahulu, saya pernah terlihat satu objek yang berwarna putih melayang-layang.

"Ketika itu saya ingin ke tandas yang berada di luar kawasan rumah. Objek itu saya lihat berada di kawasan rumah jiran saya.

"Pada sekitar tahun 80 an, saya pernah nampak bintang di langit. Namun, setelah saya ucap Subhanallah, bintang itu pecah," katanya yang mengakui bapanya pernah menceritakan kisah-kisah seram yang berlaku di tempat kerjanya di penjara.

Pertimbangan di RAMFC

Berjaya menterjemahkan Tombiruo dalam penyampaiannya yang tersendiri, novel ini masih menerima sambutan yang hebat di kalangan peminat khususnya pembaca.

Diterbitkan sejak 1998 menerusi syarikat penerbitan, Alaf 21, sehingga kini, penjualan novel ini masih berterusan malah, turut muncul sebagai karya 'Top 10'.

Berbesar hati dengan penerimaan yang tidak putus-putus dari peminat karyanya hampir dua dekad, Ramlee menganggap ianya adalah impak daripada novel yang bakal diadaptasi ke layar perak tidak lama lagi.

"Saya tidak nafikan, ianya adalah kesan daripada projek yang sedang kita lakukan iaitu adaptasi novel ke filem. Ia nyata memberi kejutan kepada saya dan juga kurniaan daripada Yang Maha Esa.

"Saya amat berbesar hati kerana karya ini kembali menambat hati pembaca. Selain daripada akhbar Sinar Harian, Ramlee Awang Murshid Fanclub (RAMFC) juga adalah medium yang banyak membantu saya dalam mengangkat kembali Tombiruo," katanya lagi.

Bertanya mengenai perbincangan dan perkongsian pendapat di RAMFC, Ramlee mengakui bahawa ia adalah platform yang membantu dirinya untuk memperbaiki kekurangan diri.

"Sebenarnya, saya tiada Facebook dan saya memang tak mahu buat laman sosial sendiri. Saya hanya memerhati pandangan peminat dan pembaca menerusi RAMFC dan Facebook milik isteri saya sahaja.
"Biasalah, ada yang kritik dan ada yang memberi kata-kata positif. Semuanya saya terima dengan hati yang terbuka. Sebagai penulis, saya perlu mengambil kira pandangan-pandangan mereka untuk memperbaiki karya saya di masa akan datang.

"Saya bukanlah orang yang tidak boleh ditegur, malah saya bersedia menjadikan teguran itu sebagai pertimbangan untuk menghasilkan karya yang lebih ampuh lagi," katanya yang lebih suka mengamalkan sikap rendah diri.

Peringkat akhir 'screenplay'

Walaupun mengambil masa yang agak lama dalam pembikinan lakon layar, namun Ramlee mengharapkan agar proses ini segera disiapkan untuk membolehkan perjalanan karya ini dapat dilakukan ke peringkat seterusnya.

Menurut Ramlee, walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, namun ketiga-tiga pihak iaitu Layar Sunan Sdn Bhd, Ideate Media Sdn Bhd dan Alaf 21, bersetuju untuk mengekalkan 70 hingga 80 peratus daripada keaslian novel asal.

"Saya mengharapkan yang terbaik untuk perjalanan projek ini ianya dapat dilanjutkan ke peringkat seterusnya secepat mungkin.

"Selepas lakon layar dipersetujui, produksi akan meneruskan kerja-kerja pemilihan pelakon berdasarkan uji bakat yang telah ditetapkan.

"Selain itu, pihak produksi juga sedang merangka pra-produksi untuk menetapkan tugas-tugas sebelum bermulanya penggambaran. Saya harap agar ianya berjalan dengan lancar, Insya-ALLAH," katanya lagi.


Sumber : sinarharian.com
0 Komentar untuk "Gambaran Tombiruo di mata Ramlee Awang Murshid"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info