BV

Nazim Othman Akui Ketumbuhan Di Otaknya Bukan Kanser

Nazim Othman featured Hlive

Setelah beberapa bulan ‘menjauhkan diri’ daripada pihak media massa sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai penyakit yang dialaminya termasuk kononnya dia menghidap barah otak, akhirnya segala-galanya terungkai apabila Nazim Othman muncul dalam program Hlive Apa Kata Malaysia? Bersama Datuk Aznil Nawawi, malam tadi.
Menerusi temu bual eksklusif itu, Nazim mengakui bahawa dia kini dalam proses pemulihan setelah menjalani pembedahan dan hasil pembedahan itu mendapati ketumbuhan di bahagian otaknya itu bukan kanser.
“Saya jalani pembedahan secara senyap-senyap pada 6 Mac lalu. Orang tak tau pun.
“Alhamdulillah ketumbuhan pada bahagian otak saya bukan kanser. Saya tak ada kanser,” kata Nazim
Nazim Othman Hlive 1
Ini adalah kemunculan pertama Nazim semenjak tersebar pelbagai cerita mengenai keadaan kesihatannya yang tidak baik.
Penyebaran berita ini bermula semenjak Nazim memuat naik satu demi satu feed di Instagramnya dengan gambar-gambar serta kata-kata yang menjurus kepada gambaran seseorang yang sedang berada dalam situasi yang tidak sihat.
Bagaimanapun, apabila ada pihak media massa yang cuba menghubungi Nazim untuk mendapatkan komen mengenai khabar-khabar angin tersebut, dia lebih bersikap mendiamkan diri.
“Secara peribadi, saya tak akan berkongsi secara terperinci mengenai diri saya. Tak kisahlah pasal situasi sekarang atau sebelum ini.
“Macam kisah-kisah peribadi saya, ada yang saya simpan untuk diri saya secara eksklusif juga sebab kalau saya cerita semua, tak ada apa yang tinggal untuk saya.
“Dalam situasi ini, ia agak complicated sebab ia melibatkan bahagian yang sangat crucial. Pembedahan itu melibatkan bahagian otak.
“Saya diamkan diri sebab benda ini terlalu sensitif untuk saya bercakap lebih lanjut. Orang tak faham dan terus memperkatakan yang kemungkinan saya ada kanser. Jadi saya memilih untuk diam.
“Bila wartawan bertanya, diorang tak tau saya tengah dalam proses akan menjalani pembedahan. Bila saya post di Instagram, saya dah jalani pembedahan.
“Dalam keadaan tu, benda ni sangat sensitif bagi saya sebab ada kemungkinan saya kehilangan deria saya ataupun kemungkinan lain yang lagi besar,” jelas Nazim lagi menerusi program tersebut.
Nazim Othman jahitan operation
Foto yang dimuat naik oleh Nazim di Instagramnya yang menunjukkan kesan jahitan pada bahagian kepalanya yang dibedah. (Foto: Daripada Instagram Nazim Othman)
Mula Sakit
Menurut Nazim, ketumbuhan pada otaknya terletak di antara bahagian mata kanan dan di atas hidung kanannya. Sakitnya bermula pada awal Januari lalu.
Pada asalnya, ia bermula dengan demam yang mana dia disyaki menghidapi demam denggi sehinggalah pemeriksaan darah mengesahkan bahawa dia bebas daripada penyakit itu.
Bagaimanapun sebulan selepas demam, kepalanya masih terasa sakit dan ia berlanjutan selama sebulan. Malah ia, bukan sekadar pening biasa, sebaliknya sakit yang amat sangat.
“Sampai ada satu ketika, saya terpaksa menelefon ambulans untuk ambil saya di tengah-tengah malam sebab saya tak nak kacau orang lain.
“2.30 pagi, saya bangun. Kepala saya macam nak pecah. Saya takut. Saya berdiri pun tak boleh so saya terpaksa panggil ambulans,” cerita Nazim kepada Aznil.
Bagaimanapun selepas keluar dari hospital, sakit di kepalanya masih ada dan Nazim pergi ke beberapa buah hospital.
Namun, ketika itu ketumbuhan di bahagian otaknya masih belum dapat dikesan kerana tidak menjalani pemeriksaan terperinci sehinggalah ibu dan bapa Nazim datang dari Johor memandangkan keadaan kesihatannya yang selalu terganggu.
“Menurut doktor, kebanyakan kes yang macam saya lalui ni biasanya normal migraine. Walhal, saya tak pernah kena migraine sebelum ni.
“Ayah saya yang suruh saya buat imbasan MRI. Hari saya buat MRI yang pertama, saya optimis.
“Tetapi doktor kata kepada saya; ‘I’m so sorry. You are unlucky. Melalui imbasan ni kita nampak otak awak ada sesuatu dan kawasan di sekitar ketumbuhan di otak awak sudah membengkak.’ Dan bengkak itu yang membuatkan kepala saya berdenyut-denyut,” terang Nazim.
Pelakon dan model ini juga mengakui jika diberi pilihan, pembedahan itu adalah perkara terkakhir yang akan dijalaninya.
Tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa juga menjalani pembedahan yang memakan masa selama lebih daripada tiga jam itu.
“Saya mempersoalkan banyak perkara kepada pakar bedah saya. Saya nak tahu apa yang akan jadi kepada saya, terutamanya ia berkaitan otak saya. Saya sangat takut.
“Saya buat second MRI saya beberapa hari sebelum pembedahan. First MRI saya pula, dua minggu sebelum itu.
“Sebelum operation, saya sangat takut. Saya takut dengan kanser tu sebenarnya. Kanser tu adalah cubaan yang sangat tinggi. Jadi saya sangat respect orang yang sangat kuat lalui dugaan kanser,” akui Nazim. 
Bagaimanapun pembedahan yang dijalaninya membuktikan yang ketumbuhan pada otaknya bukan kanser.
Nazin Othman dan Aznil
Nazim berkata, temu bual bersama Aznil mungkin satu-satunya temu bual mengenai situasi yang sedang dihadapinya ketika ini kerana dia mahu diberikan ruang untuk menyepi buat seketika demi memulihkan kembali keadaan kesihatannya. (Foto: Daripada Instagram Datuk Aznil Nawawi)
“Tetapi saya tak boleh terlalu yakin sebab saya belum betul-betul pulih daripada pembedahan itu. Walaupun ia bukan kanser tapi ia bukan satu benda yang mudah bagi saya.
“Luka saya pun belum kering sepenuhnya. Jahitan tu di bahagian dalam kulit kepala. Kat luar ni staple sahaja,” kata Nazim sambil membuka serkup hitam di kepalanya dan menunjukkan kesan jahitan di bahagian kanan kepalanya sewaktu Aznil meminta Nazim menunjukkan bahagian yang dibedah.
Nazim yang kelihatan agak berisi mungkin berikutan ubat-ubatan yang harus diambilnya, hadir di studio Hlive dengan pakaian ala sukan yang lengkap berpenutup kepala.
Perspektif Hidup Berubah
Menerusi program yang bersiaran selama 30 minit ini, Nazim turut mengakui yang perspektifnya terhadap kehidupan juga sudah berubah selepas melalui fasa getir itu.
“Saya melihat kehidupan melalui perspektif yang berbeza sekarang.
“Kalau orang cakap ini satu hukuman kepada saya… Mmm… Mungkin juga.
“Dalam situasi ini, saya bersyukur kerana saya rasa kasih sayang Allah itu lebih besar daripada apa yang Dia bagi kepada saya.
“Ia memberi kesedaran kepada saya… Sebelum pembedahan, kau dah berdoa, kau dah buat ini, kau dah buat itu. Orang pun dah berdoa, buat sembahyang hajat dan saya sendiri berdoa dan bersembahyang hajat. Saya percaya Allah mendengarnya.
“Kalau orang nak kata apa, tak ada apa yang boleh melukakan hati saya sekarang sebab kepercayaan saya kepada Allah sekarang.
“Bagi saya, kehidupan ini adalah sesuatu yang memang tak pasti terutamanya kita tak tau bila kita akan sakit dan sakit apa yang Tuhan nak datangkan kat kita. Lebih besar daripada itu, kita tak tau bila kita akan pergi… Itu kesedaran maksimum yang Dia bagi kepada saya.
“Saya tak tau macam mana penerimaan anda di luar sana dengan kenyataan saya. Tapi saya harap daripada situasi saya ini, kita dapat belajar sesuatu daripada perspektif yang baik. Insya-Allah saya harap kita semua dilindungi-Nya,” ujar Nazim dalam nada yang kedengaran agak sedih.
Tinggalkan Dunia Lakonan?
Sebelum menamatkan temu bualnya dengan Nazim, Aznil bertanyakan apakah tetamu programnya itu akan meninggalkan dunia lakonan setelah melalui dugaan hebat ini.
“Secara jujur bila saya nak buat pembedahan. Saya bertanyakan banyak soalan kepada doktor pakar saya dan doktor itu akhirnya bertanya, apa yang buat saya amat risau.
“Kata doktor itu; ‘Awak risau muka awak berubah? Awak risau ada parut ke?’
“Saya jawab, bukan itu yang saya risaukan pun. Saya cakap, saya tak kisah dengan rupa saya kalau berubah sekalipun.
“Maknanya, saya di tahap ini tidak kisahpun kalau selepas ini saya tak berlakon lagi ataupun tak terlibat langsung dalam bidang ini.
“Tapi kalau Allah kata, Ok kau boleh berlakon, Aku benarkan tapi saya kena berjaga-jagalah sebab sebelum pembedahan itu saya dah minta macam-macam dekat Dia.
So saya kena tau limit saya kat mana. Dan kalau saya berlakon selepas ini lagi, memang saya akan berlakon sebab ada tawaran pun. Tapi saya kena berjaga-jagalah dengan apa yang saya dah berjanji dengan Dia,” jelas Nazim panjang lebar.



Sumber : manggaonline.com
0 Komentar untuk "Nazim Othman Akui Ketumbuhan Di Otaknya Bukan Kanser"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info