BV

Bocey sertai Lawak Ke Der 2015


KUMPULAN Bocey, (dari kiri) Abam, Achey dan Fad teruja kerana diberi kesempatan terbabit dalam pementasan musim keempat Lawak Ke Der 2015.

WALAUPUN gagal merangkul gelaran juara program realiti fenomena, Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), bakat lawak yang terdapat pada kumpulan Bocey tetap diiktiraf apabila berpeluang memeriahkan pementasan Lawak Ke Der 2015 yang akan diadakan di Istana Budaya pada 16 April depan.
Dianggotai oleh Abam, Achey dan Fad, kumpulan itu akan berkongsi pentas bersama pelawak terkemuka lain termasuk Afdlin Shauki, Douglas Lim dan Harith Iskander.
Teruja dengan penghormatan yang diberikan, Bocey menyifatkan pemilihan mereka dalam pementasan Lawak Ke Der 2015 sebagai suatu penghormatan dan rezeki untuk meluaskan bakat sedia ada.
“Kami sangat teruja apabila dapat terlibat dalam pentas Lawak Ke Der pada kali ini. Ia seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan. Berkongsi pentas bersama pelawak besar lain, ia merupakan suatu penghormatan besar buat kami.
“Walaupun ada ramai pelawak yang lagi bagus di luar sana, nama kami terpilih. Terima kasih kepada penerbit teater ini, Hans Isaac kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada kami,” luah Fad mewakili dua orang rakannya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya baru-baru ini.
Sementara itu, pengarah pementasan tersebut, Hans Isaac mengatakan bahawa dia sendiri secara peribadi memilih Bocey selepas membuat tinjauan awal secara kasar mengenai kumpulan pelawak lain yang dilihat menarik untuk diajak menggeletek hati penonton.

Lawak Ke Der 2015 menyaksikan gabungan pelawak seperti kumpulan Bocey, Harith Iskander dan Douglas Lim. Pementasan tersebut akan diadakan di Istana Budaya pada 16 hingga 19 April depan.

Hans berkata, melalui kajian, lebih 70 peratus orang ramai memilih untuk melihat kumpulan Bocey membuat persembahan pada pementasan Lawak Ker Der 2015 yang akan dipentaskan buat kali keempat.
“Sebelum kami memilih finalis yang akan menyertai Lawak Ker Der musim ini, saya telah bertanya dan membuat sedikit kajian tentang siapa yang khalayak inginkan dalam pementasan Lawak Ker Der kali ini.
“Kebanyakan mereka memilih kumpulan Bocey kerana lawak yang ditonjolkan lebih dekat kepada masyarakat dan tidak memperbodoh-bodohkan penonton,” ujarnya.
Hans menambah, bukan mudah untuk memilih pelawak yang mampu membuat lawak di pentas teater memandangkan kebanyakan khalayak yang menonton teater adalah berbeza dengan khalayak biasa.
Disebabkan hal tersebut, Hans memberitahu, dia sentiasa mengingatkan pelawak agar mencari bahan yang segar dan tidak pernah digunakan sebelum ini.
“Saya tidak mahu lawak yang sudah basi atau pernah digunakan sebelum ini. Ia bagi menjaga jenama Lawak Ker Der yang sememangnya sudah dikenali sebagai pentas lawak terkenal.
“Sementara itu, dari segi pemilihan bahan juga, pihak kami bergantung kepada maklum balas penonton pada malam tersebut. Jika ia tidak menghiburkan, pelawak perlu menukar bahan lain,” getusnya.
Dalam pada itu, bercakap tentang garis panduan yang ditetapkan kepada pelawak, Hans berkata, dia tidak mempunyai syarat atau peraturan tertentu.
Bagaimanapun, dia tetap menitik-beratkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Budaya untuk setiap pementasan teater.
“Saya tidak letak apa-apa garis panduan tetapi lawak mereka perlu mengikut peraturan Istana Budaya. Saya tidak mahu lawak lucah, memperbodohkan orang atau boleh memecahkan kaum,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lawak Ke Der 2015 bakal dipentaskan pada 16 hingga 19 April depan pukul 8.30 malam. Harga tiket adalah RM46, RM86, RM126, RM156 dan RM176.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz3VA052Bjx 
Hakcipta terpelihara 

0 Komentar untuk "Bocey sertai Lawak Ke Der 2015"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info