BV

David Beckham: 'Dia bukan hanya isteri'

David Beckham
David Beckham bersama isteri tercinta.

JIKA ditanya siapakah selebriti yang paling stylish dalam industri seni Hollywood, nama David Beckham adalah salah satu daripada senarai tersebut.

Bukan hanya bintang bola sepak ini, malah isteri, Victoria Beckham dan empat anaknya, Brokklyn Joseph, 16, Romeo James, 13, Cruz David, 10, dan Harper Seven, 4, termasuk dalam keluarga yang paling berpengaruh dalam dunia fesyen.

Mendirikan rumah tangga pada 4 Julai 1999, mahligai cinta yang dibina pasangan selebriti ini wajar dijadikan contoh kepada pasangan lain.

Meskipun jarang mempamerkan kemesraan secara umum, namun mereka tersenarai sebagai pasangan yang paling sempurna di dunia Hollywood.

Di sebalik kebahagiaan keluarga ini, Beckham turut berkongsi rahsia kehangatan rumah tangganya bersama Victoria atau lebih mesra disapa Posh.

Katanya, Posh bukan sahaja bertindak sebagai isteri baginya, malah isteri tercinta itu juga adalah tulang belakang di sebalik kehebatannya dalam menyarungkan persalinan.

Menerusi temu bual bersama media antarabangsa, Beckham memberitahu bahawa Posh adalah pereka fesyen peribadinya dan individu yang berada di belakangnya setiap ketika.

"Kejujuran adalah hal penting ketika kamu sedang menjalin sebuah hubungan. Isteri saya merupakan perunding imej saya sejak dulu lagi dan saya selesa dengan cadangannya dalam memilih pakaian yang sesuai.
"Bagi saya, dia sangat jujur dalam memberi pendapat dan teguran. Sekiranya dia tidak suka dengan apa yang saya pakai, dia akan berterus terang dan saya mampu mengubahnya ke arah yang lebih baik.

"Saya akui, dia mempunyai pengetahuan yang sangat arif tentang fesyen dan perniagaannya berkembang dengan baik. Malah, sehingga saat ini, saya menerima 99 peratus daripada cadangan dan tegurannya," kata bintang berusia 39 tahun ini.

Tambah Beckham lagi, Posh adalah penasihat terbaik untuknya bukan hanya dalam dunia fesyen dan penampilan, malah untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia serta selebriti.

"Sebenarnya, kejayaan saya pada hari ini adalah bantuan daripadanya. Tanpa dia (Posh), saya tidak akan berada di sini. Dia layak untuk menerima pengiktirafan sebagai wanita paling inspiratif di dunia," katanya lagi.


Bintang klip video

Bukan hanya dalam dunia sukan bola sepak, pakej lengkap yang dimiliki Beckham menjadikan bintang ini turut dipilih sebagai model dalam industri fesyen.

Tidak asing lagi dalam dunia fesyen, kini Beckham dikhabarkan bakal tampil dalam sebagai bintang menerusi klip video lagu penyanyi terkenal, Noel Gallagher.

Hadir bersama di The Graham Norton Show, Gallagher bertanya secara terus kepada Beckham akan kesudian bintang ini untuk bekerjasama dalam pembikinan klip video lagu baharunya.

Walaupun perbincangan itu dalam suasana yang lebih santai, namun Beckham melahirkan keinginannya untuk sama-sama terlibat dalam  pembikinan video berkenaan.

"Ia adalah tawaran yang sangat baik. Saya senang sekali untuk menerimanya dan ia adalah pengalaman baharu dalam bidang ini," katanya ketika itu.

Difahamkan, album baharu Gallagher berjudul, Chasing Yesterday itu bakal dilancarkan tidak lama lagi, namun ada beberapa perkara yang masih lagi memerlukan suntingan termasuk judulnya.

Profil
Nama Penuh : David Robert Joseph Beckham
Tarikh Lahir : 2 Mei 1975
Tempat Lahir : Leytonstone, London
Nama Isteri : Victoria Caroline Adams
Nama Anak : Brokklyn Joseph (4 Mac 1999), Romeo James (1 September 2002), Cruz David (20 Februari 2005), Harper Seven (l0 Julai 2011)
Karier : Pemain bola sepak
Tahun Aktif : 1991 hingga kini




Sumber : sinarharian.com
0 Komentar untuk "David Beckham: 'Dia bukan hanya isteri'"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info