BV

Peguam ada hujah bela Chong Wei


NASIB Chong Wei bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat oleh Panel Pendengaran Anti Doping BWF yang akan bersidang pada 11 April nanti.

NEW DELHI, India – Pasukan pembelaan Lee Chong Wei akan bergantung kepada hujah bahawa pemain badminton negara secara tidak sengaja mengambil bahan terlarang dexamethasone semasa pendengaran kes doping di Amsterdam pada 11 April nanti.
Peguam B.Jadadish Chandra berkata, peguam utama Mike Morgan, seorang pakar perundangan sukan berpangkalan di London yang dilantik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pasukannya telah bersiap sedia untuk mengetengahkan hujah bahawa dexamethasone bukan dadah bagi meningkatkan prestasi.
Beliau berkata, dadah itu hanya digunakan untuk melegakan sakit otot dan semasa 12 tahun dalam karier profesionalnya, Chong Wei menjalani ujian darah sebanyak 124 kali.
“Kami juga akan mengetengahkan hujah bahawa Chong Wei berada di penghujung karier profesionalnya dan sudah pasti beliau tidak mahu reputasinya tercalar dengan mengambil bahan terlarang,” kata Jadadish Chandra kepada Bernama dalam satu temu bual.
Jadadish Chandra yang juga anggota majlis BAM, merupakan pengurus pasukan bagi pemain badminton yang mengambil bahagian dalam Terbuka India bermula Selasa di sini.
Peguam itu berkata, beliau akan menemani Chong Wei bersama dengan pengurus besar BAM, Kenny Goh dan pegawai lain dalam persatuan yang akan singgah di London untuk beberapa hari sebelum pendengaran itu bagi memuktamadkan hujah dan strategi mereka dengan firma guaman.
Morgan, peguam yang berpangkalan di London pernah mewakili pemain bola sepak Manchester City, Yaya Toure dan beberapa personaliti sukan yang lain dari Amerika Syarikat dalam pendengaran kes doping.
Jadadish Chandra berkata, pasukan perundangan itu akan menggunakan pandangan pakar-pakar dan laporan perubatan Chong Wei yang lain bagi menyokong hujah mereka di Amsterdam.
Ditanya strategi pasukan itu, Jadadish Chandra berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butiran itu.
“Biarlah ahli panel mendengar (hujah) kami terlebih dahulu sebelum kami mendedahkan (butiran itu) kepada media,” katanya.
Chong Wei kini digantung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang itu ketika beraksi dalam kejohanan dunia di Copenhagen, Ogos lepas dan boleh digantung sehingga dua tahun jika didapati bersalah.
Berkuat kuasa 1 Januari tahun ini, BWF meminda peraturan dopingnya dan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.
Jadadish Chandra berkata, jika tiga anggota panel mendapati Chong Wei bersalah dan mengenakan hukuman (dua tahun) maksimum, ia akan menamatkan kariernya kerana dia sudah mengumumkan hasratnya untuk bersara selepas Olimpik Rio pada Julai tahun depan.
Katanya, panel berkenaan akan memberikan keputusan pada hari yang sama atau dua ke tiga hari selepas pendengaran kes itu.
Katanya, pada 11 April ini juga tidak mungkin akan menyaksikan berakhirnya prosiding memandangkan sama ada pihak (BAM atau BWF) boleh merayu terhadap keputusan panel itu kepada Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan di Zurich.
“Kami sedang memohon suatu perintah untuk menarik balik larangan itu bagi membolehkan beliau (Chong Wei) segera kembali menyertai kejohanan antarabangsa,” kata Jadadish Chandra yang mengesahkan bahawa Chong Wei menjalani latihan seperti biasa di bawah pengawasan jurulatihnya, Tey Seu Bock. – Bernama



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3VOBPHbTU 
Hakcipta terpelihara 
0 Komentar untuk "Peguam ada hujah bela Chong Wei"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info