BV

Idam watak heroin



SEBARIS nama Ika Nabila mungkin bukan asing lagi dalam dunia lakonan terutama buat penggemar drama rantaian.
Drama popular seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna dan Kerana Terpaksa Aku Relakan antara naskhah yang banyak membantu menaikkan nama gadis kelahiran Pulau Pinang itu meskipun watak yang dipegangnya hanya sekadar pelakon pembantu.
Ironi, pemilik nama Ika Nabila Abdul Rahim mula membina profil diri dalam dunia seni sebagai penyanyi menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada tahun 2008. Namun, impiannya bergelar penghibur tersekat di tengah jalan apabila hanya mampu bertahan selama tempoh empat minggu.
Cuba bangkit memadam awan hitam dalam coretan perjalanannya, gadis muda itu sekali lagi bangkit menerusi bakatnya yang begitu menyerlah dalam bidang lakonan. Acap kali dipilih membintangi drama tidak kira untuk watak besar atau sekadar karakter tempelan, peluang keemasan itu diguna pakai sebaiknya oleh Ika, 26, mengukuhkan lagi pasakan namanya dalam industri.
Popular
Sempat bertemu pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu di lokasi penggambaran drama terbaharunya, BIB di Dewan MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dia kelihatan ceria. Hadir mengenakan baju berwarna merah jambu terang dipadankan dengan skirt paras paha, gadis berambut panjang ikal itu mudah disapa dan mesra bicara.
Pada awalnya, perbualan terisi dengan pegangan wataknya dalam drama BIB. Meskipun gigih membina nama sebagai anak wayang, malah kekerapan wajahnya muncul dalam drama juga tidak pernah surut, namun jika ditimbal balik, sorotan karier yang kukuh tidak memberi pulangan setimpal apabila namanya masih lagi suam-suam kuku sebagai pelakon.
Jarang sekali diberi watak teraju utama apatah lagi tawaran filem, Ika mengakui terkadang dirinya pernah terasa hati. Namun, perasaan itu pantas dibuang jauh dari dalam lubuk hatinya apabila memikirkan sepanjang tujuh tahun dia berkelana dalam industri, bakatnya tidak pernah dipandang sepi oleh kebanyakan produksi.
“Barangkali belum sampai rezeki saya untuk memegang watak utama dalam mana-mana drama atau filem,” tutur Ika dalam nada perlahan dan tersekat-sekat.
“Sepanjang tempoh saya berada dalam industri, rasanya tidak pernah timbul soal masalah dengan mana-mana pihak produksi, apatah lagi soal disiplin di set lokasi. Bukan mahu masuk bakul angkat sendiri tetapi itulah sifat saya. Selagi namanya kerja, saya akan beri komitmen seratus peratus.
“Namun, yang menjadi punca kepada tenggelam timbul nama saya sebagai pilihan watak mungkin juga dipengaruhi oleh lambakan pelakon pada masa kini. Saya akui kemunculan bakat baharu dalam dunia hiburan umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Begitu ramai.
“Apa yang saya cuba katakan ini cuma berbaur pandangan peribadi tetapi mungkin ada betulnya jika difahami dengan teliti. Sekarang, pihak produksi atau pengarah sendiri selalu melihat kepada wajah-wajah baharu dalam industri. Saya tidak salahkan sesiapa dan faham akan situasi sebegini kerana mereka mengutamakan selera dan kehendak penonton.
“Di situ alasan strategi pemasaran boleh diguna pakai untuk melariskan produk mereka kepada penonton,” luah Ika cuba membuat kesimpulan mengenai dirinya yang sedikit tenggelam sambil tertawa kecil.
Membawa penulis hanyut dalam perbualan mengenai susur galur kariernya selama ini, Ika sempat berbicara soal kehendak hati dan naluri diri yang sudah lama dipendam sepi.
“Sudah tentu saya mahu pegang watak utama. Saya percaya, mana-mana pelakon mahukan perkara yang sama. Tipulah jika ada antara pelakon yang tidak mahu gelaran heroin. Bagi saya, untuk apa jadi seorang pelakon jika tidak meletakkan sebarang sasaran dalam karier.
“Selama bergelar anak seni, saya mahukan watak yang sarat emosi. Saya mahu pegang karakter yang boleh bikin penonton menangis. Jika saya berjaya lakukan perkara sebegitu, ia bagaikan satu bonus dan kepuasan kepada diri,” lontar pelakon filem Tanda Putera itu mesra.
Cinta
Saat perbualan beralih kepada soal hati, empunya diri tersipu malu seketika sebelum mengambil masa menjawab soalan cepumas tersebut. Mengambil pendekatan tidak berahsia, Ika dengan terbuka bercerita mengenai sisi peribadinya.
“Bukan mahu memberi satu jawapan selamat atau lebih tepatnya disebut klise jika ditanya tentang jodoh tetapi saya juga seperti orang lain. Soal jodoh hanya diserahkan kepada Allah. Tidak perlu terburu-buru dan gelojoh, biar perlahan asalkan semuanya berjalan lancar.
“Saya mengaku sekarang hati sudah dimiliki seseorang dan yang dia bukan dalam kalangan orang industri. Kami sudah hampir empat tahun berkenalan dan buat masa sekarang dia menguruskan perniagaan sendiri, manakala saya juga fokus kepada bidang seni.


KEMBALI menyemarakkan bidang nyanyian, Ika bakal muncul dengan dua buah single terbaharu pada tahun ini.


“Saya tidak letak sebarang sasaran dalam perhubungan kerana percaya jodoh itu akan sampai bila tiba masanya. Sebab itu buat masa sekarang saya lebih selesa solo tanpa terikat dengan apa-apa ikatan. Biarlah masing-masing stabil dengan kerjaya dahulu, barulah boleh fikir soal rumah tangga,” tutur Ika penuh makna diselangi tawa manja.
Karier
Selepas sesi penggambaran drama BIB tamat pada hujung April ini, Ika dijadualkan akan berangkat ke luar negara bagi menjalani sesi penggambaran sebuah drama terbaharunya.
“Insya-Allah saya akan berangkat ke luar negara, kemungkinan Timur Tengah tidak lama selepas selesai menjalani penggambaran drama BIB tetapi lokasi yang tepat tidak dapat dipastikan buat masa sekarang.
“Pada masa yang sama, selain sibuk dengan jadual penggambaran, saya juga dalam perancangan untuk menghasilkan dua buah single terbaharu. Sekarang saya sedang memilih beberapa buah lagu yang dirasakan sesuai dengan pasaran.
“Jika ikut perancangan, saya mahu hasilkan sebuah lagu yang berentak catchy sesuai dengan situasi industri muzik kita sekarang. Pendengar lebih sukakan lagu-lagu rancak dan lirik yang mudah diingat. Untuk single kedua pula saya mahu sebuah lagu berentak perlahan, melodi yang sedih dan beremosi.
“Sengaja saya mahu menghasilkan dua buah lagu yang berlainan rentak kerana mahu karya itu kelak boleh dijadikan sebagai lagu tema bagi mana-mana drama televisyen atau runut bunyi filem.
“Sama seperti single pertama saya yang terdahulu, Tiada Rasa gandingan dengan penyanyi Aliff Razali, lagu tersebut dipilih menjadi lagu tema bagi dua buah drama popular iaitu Julia dan Ilusi,” jelas Ika lanjut mengenai perancangannya pada tahun ini.
Tambah Ika, kedua-dua lagu tersebut bakal dirakamkan menjelang pertengahan tahun ini selepas proses pemilihan selesai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz3VAU3Rvco 
Hakcipta terpelihara 

0 Komentar untuk "Idam watak heroin"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info