BV

Kementerian Kesihatan Sedia Saring Mental Juruterbang



BALIK PULAU – Sekiranya berminat, Kementerian Kesihatan sedia memberi kerjasama untuk mengadakan ujian mental terhadap juruterbang di negara ini.
Ini dinyatakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang berkata pemeriksaan sebegitu adalah penting bagi memastikan juruterbang berada pada tahap pemikiran baik serta tidak mengalami gangguan emosi untuk bertugas.
“Bagaimanapun inisiatif ini harus dilakukan syarikat penerbangan sendiri dan pihak kementerian bersedia memberi kerjasama,” katanya di sini hari ini.
Beliau merasmikan program Taman Sihat Hapus Aedes.
Dr Hilmi diminta mengulas mengenai kemalangan sebuah pesawat Airbus Germanwings yang mengorbankan kesemua 150 orang penumpangnya termasuk pelajar sekolah.
Media di Jerman melaporkan pembantu juruterbang sengaja menghempaskan pesawat ekoran mengalami kemurungan serius sejak enam tahun lalu.
Beliau turut menyarankan agar pemeriksaan ke atas juruterbang dibuat sekerap mungkin atau sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
Mengenai denggi, katanya sehingga semalam sebanyak 32,321 kes dicatat dengan jumlah kematian 101 orang.
Dr Hilmi berkata Selangor masih mengungguli jumlah kes terbanyak iaitu 19,016 kes sementara Pulau Pinang mencatat 1,410 kes.
Dari segi kes, Pulau Pinang mencatat 1,410 kes. – BERNAMA

0 Komentar untuk "Kementerian Kesihatan Sedia Saring Mental Juruterbang"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info