BV

Rompak Kafe Siber: 2 Beradik, Rakan Dipenjara 3 Tahun



KUALA LUMPUR – Dua beradik dan seorang rakan mereka dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan setiap seorang selepas mengaku bersalah merompak sebuah kafe siber dengan sepucuk pistol tiruan tahun lepas.
Hakim Azman Mustapha memerintahkan pemandu peribadi, Mohd Rosdi Rusli, 35, adiknya penganggur, Mohamad Rosfazul Rusli, 34, dan rakan mereka penghantar surat, Alhafizshahkirin Kamarulzaman, 29, menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditangkap pada 19 Julai tahun lepas.
Mereka bertiga didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan dengan mengacukan sepucuk pistol tiruan terhadap Chung Tian Long, 39, di Kafe Siber, 1-1 Blok C, Plaza Danau 2, Jalan 2/109F, Taman Danau Desa di sini pada 5.15 pagi, 19 Julai 2014.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat tidak kurang tiga kali.
Ketika rayuan, peguam Farhan Maaruf yang mewakili dua beradik itu memohon hukuman penjara yang minimum atas alasan mereka telah mengaku bersalah dan insaf atas perbuatan itu.
“Mereka melakukan jenayah itu setelah tidak dapat mengawal perasaan marah apabila rakan mereka (yang masih bebas) menang judi RM70,000 di kafe siber itu namun, pihak syarikat enggan bayar lalu berlaku perselisihan faham,” katanya.
Sementara itu, Peguam Zaidi Othman yang mewakili Alhafizshahkirin pula memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya bertindak mengikut rakannya yang tidak berpuas hati dengan pemilik pusat siber itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Malini S. Anne. – BERNAMA

Sumber : mynewshub.cc
0 Komentar untuk "Rompak Kafe Siber: 2 Beradik, Rakan Dipenjara 3 Tahun"

 
Copyright © 2014 MamarazziNews - All Rights Reserved
Template By Catatan Info